Friday, October 9, 2009

Kedamaian hati terletak pada akhlak yang mulia

Sikap seseorang akan terpantul kepada orang lain, dan begitu pula sebaliknya. Jika seseorang berbuat baik kepada orang lain, maka orang lain pun akan melakukan hal yang sama kepadanya. Pantulan kebaikan adalah kebaikan juga. Maka siapa yang berbuat baik kepada orang lain, hatinya akan tenang dan damai. Dia akan menikmati anugerah hidup dari Allah dalam suasana yang penuh tolak ansur serta keharmonian.

Orang yang buruk dan bengis penampilan serta pembawaannya,maka orang lain juga akan melakukan hal yang serupa kepadanya. Sesiapa yang tidak menghormati orang lain maka orang lain tidak akan hormat kepadanya.

Orang yang baik akhlaknya lebih dekat kepada ketenangan, jauh dari kegelisahan dan kesusahan. Tambahan pula akhlak yang baik merupakan ibadah kepada Allah dan sangat dianjurkan dalam islam. Allah S.W.T berfirman:
"خذ العفو وأمر بالعرف وأعرض عن الجاهلين"
Jadilah engkau pemaaf, serulah orang-orang mengerjakan kebaikan dan berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh.

Manakala tentang keperibadian Rasullah s.a.w, Allah berfirman:

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم واستغفر لهم وشاورهم في الأمر فإذا عزمت فتوكل على الله إن الله يحب المتوكلين
"Sebab rahmat dari Allah, maka kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri darimu. Kerana itu, maafkanlah mereka, mohonlah ampunan untuk mereka dan bermusyawarahlah dengan mereka. Apabila kamu telah berbulat tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"sesungguhnya orang yang paling aku cintai dari kamu adalah yang paling baik akhlaknya, yang sentiasa merangkul ketika berjalan (menjaga persaudaraan) dan menyenangi dan disenangi. Orang yang paling aku benci dari kamu adalah suka mengadu domba, yang memisahkan antara orang yang saling mengasihi dan mencari aib orang-orang yang bersih"